Kaedah Hafaz Quran Dengan Betul

Al-amin: assalamu'alaikum ustaz. Bagaimana cara terbaik untuk menghafaz al-Quran. Setiap kali saya hafal, saya pasti terlupa jika diulang kembali selepas 1 minggu. Harap ustaz dpt bantu.


Jawapan : Wa'alaikumussalam. Terima kasih Saudara Amin kerana melawat blog saya. Tahniah juga saya ucapkan pada anda kerana berminat untuk hafaz Quran. Ramai yang tidak berminat untuk hafaz Quran ini. Sebelum kita terangkan lebih lanjut mari kita kenali lebih dekat mengenai panduan Hafaz Quran.

Menghafaz Al-Quran bukan perkara baru. Sejak ia diturunkan ia telah pun dihafaz. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang pertama menghafaz Al-Quran. Dengan demikian baginda s.a.w. digelarkan Saiyidul-Hufaaz (Penghulu bagi penghafaz Al-Quran). Sahabat-sahabat semuanya menghafaz Al-Quran. Ada di antara mereka yang menghafaz seluruh Al-Quran, dan ada di antaranya yang menghafaz sebahagiannya sahaja. Bagi setiap orang Islam dikehendaki menghafaz Al-Quran sekurang-kurangnya cukup untuk dibaca di dalam solat.

Menghafaz al-Quran tidak seperti menghafaz senikata lagu dan prinsip-prinsip matematik atau sains. Selain daripada sifatnya yang tidak sama itu, menghafaz Al-Quran adalah ibadat. Ia suatu amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t..

Abu Umamah al-Bahili r.a. meriwayatkan dengan katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang di hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya"

Membaca Al-Quran bukan sahaja mendapat pahala dan menjadi syafaat di dalam kubur dan juga di hari Akhirat, tetapi ia juga merupakan ubat dan penawar serta rahmat bagi seluruh kaum muslimin. Ini adalah berdasarkan firman Allah:

Bermaksud: "Dan Kami turunkan sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran itu menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin". Surah Isra 82.

"Sesiapa yang mendengar (bacaan) satu ayat dari kitab Allah (Al-Quran), maka ayat itu menjadi nur (cahaya) baginya". Riwayat Ibnu Abbas r.a.

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh ad-Darimi daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya Allah Ta`ala tidak menyiksa hati yang menyimpan Al-Quran (hafaz Quran). Dan sesungguhnya Al-Quran itu hidangan Allah, maka sesiapa yang masuk padanya, maka dia mendapat keamanan, dan sesiapa yang kasihkan Al-Quran, maka hendaklah ia bergembira (dengan berita baik daripada Allah Ta'ala".

Sebaliknya rugilah orang yang tidak ada Al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat. Rasulullah s.a.w. menganggapkan orang yang tidak membaca Al-Quran dan tidak menghafaznya, seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya ialah orang yang sangat rugi seperti rumah buruh yang hampir runtuh. Sabda baginda s.a.w. bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada Al-Quran di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir runtuh" Hadis riwayat Tarmizi.

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis seperti yang dibentangkan di atas, marilah sama-sama kita insaf diri dan kembali kepada Al-Quran. Iaitu dengan mempelajarinya, memahami, menghafaz dan mengamal serta menghayati ajarannya.

Sebelum menghafal
1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal.
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafal.
8. Membaca ayat 164 surah Al­Baqarah sebelum mula menghafal.

Teknik Mengulang
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat - lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua. 4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya. 5. Sebelum menghafal bahagian Al­Qur'an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.

Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mati dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.

Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari' yang baik bagi seluruh Al­Qur'an atau beberapa qari' bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat­-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari' tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat­-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari' tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur'an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.

Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu', atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.

Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisinya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat­ayat yang didengar dari kaset di minda kita.

Mengekalkan Hafalan
1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.

Adab Membaca Dan Menghafaz Al-Quran
1. Ikhlaskan niat.
2. Bersabar.
3. Mulakan bacaan dengan Bismillah.
4. Banyak berdoa kepada Allah s.w.t.
5. Bersih dari hadas kecil dan besar.
6. Sebaiknya menghadap kiblat.
7. Memakai pakaian putih yang bersih dan menutup aurat.
8. Jangan banyak berkata dan ketawa ketika membaca dan menghafal.
9. Memberikan tumpuan sepenuhnya.
10. Jangan membaca ketika mengantuk atau menguap.
11. Berhenti membaca ketika ingin membuang angin.
12. Menghormati Al-Qur'an.
13. Menghormati guru.
14. Solat dua rakaat sebelum memulakan kelas.

Semoga artikel ini cukup buat saudara.

Rujukan :-
1) Al-Quran dan Hadis
2) Para Hufaz (Kawan)
3) Pejabat Mufti Kedah
4) Pejabat Agama Kedah

0 pendapat:

Post a Comment